Terma Penggunaan
Kemas kini terakhir: 9 Okt 2026
Invois Bijak ialah perkhidmatan percuma oleh Bijak Media untuk membantu perniagaan kecil menyediakan sebut harga dan invois. Dengan mendaftar, anda bersetuju dengan terma berikut.
1. Penggunaan
- Perkhidmatan ini disediakan "seadanya" tanpa sebarang jaminan.
- Anda bertanggungjawab sepenuhnya atas ketepatan maklumat, harga dan cukai dalam dokumen anda.
- Dilarang menggunakan perkhidmatan ini untuk penipuan, spam atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Malaysia.
2. Had penyimpanan
Setiap akaun boleh menyimpan sehingga 10 sebut harga dan 10 invois. Dokumen yang dipadam tidak boleh dipulihkan. Anda dinasihatkan memuat turun PDF untuk simpanan rekod perniagaan anda sendiri.
2a. Pelan Penyokong
- Pelan Penyokong berharga RM15 untuk tempoh 3 bulan, dibayar sekali melalui CHIP. Tiada caj automatik atau langganan berulang.
- Keistimewaan aktif secara automatik selepas bayaran disahkan. Bayaran tambahan akan melanjutkan tempoh selepas tarikh tamat semasa.
- Bayaran Penyokong adalah sumbangan kepada penyelenggaraan sistem dan tidak dikembalikan, kecuali jika keistimewaan gagal diaktifkan akibat ralat sistem kami.
- Selepas tempoh tamat, dokumen anda kekal selamat. Had 10 dokumen bagi setiap jenis akan dikenakan semula untuk dokumen baru, dan tetapan cop, warna serta penghapusan teks promosi tidak lagi digunakan.
- Baucar laman web RM100 hanya untuk tempahan laman web baru dengan BijakMediaMY, sah 12 bulan dari tarikh dikeluarkan, satu baucar bagi setiap akaun dan tidak boleh ditukar kepada wang tunai.
2b. Program Rujukan
- Pautan rujukan diberikan kepada Penyokong aktif sahaja.
- Perujuk menerima kredit RM5 apabila pengguna yang mendaftar akaun baru melalui pautan rujukan membuat bayaran Penyokong pertama. Kredit diberi sekali sahaja bagi setiap pengguna baru.
- Kredit ditolak secara automatik daripada pembaharuan Penyokong. Jika baki kredit menyamai atau melebihi harga Penyokong, pembaharuan adalah percuma dan baki dibawa ke hadapan.
- Kredit tiada nilai tunai, tidak boleh dipindah milik dan tidak dikembalikan. Kami berhak membatalkan kredit yang diperoleh melalui penyalahgunaan (contoh: akaun palsu).
2c. Emel peringatan
Penyokong akan menerima emel peringatan sebelum dan semasa tempoh tamat. Anda boleh berhenti menerimanya melalui pautan di bahagian bawah emel tersebut.
3. e-Invois LHDN
Dokumen yang dijana bukan e-Invois yang disahkan oleh LHDN (MyInvois). Jika perniagaan anda tertakluk kepada keperluan e-Invois, anda perlu mematuhinya secara berasingan.
4. Emel
Emel dihantar bagi pihak anda dengan had harian. Kami berhak menggantung akaun yang disyaki menghantar spam.
5. Perubahan perkhidmatan
Kami boleh mengubah, menggantung atau menamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa. Kami akan cuba memberi notis yang munasabah.
6. Liabiliti
Bijak Media tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan perkhidmatan ini.